Kasih Abah

"Selamat Hari Jadi Abah!!! Moga diberkati umur abah." saya ucapkan pada abah melalui telefon. "Hahaha" ketawa abah mendengarnya. Genaplah umurnya yang ke 55 tahun pada hari ini, 21 Mei 2010. Sayu hati teringatkan kenangan bersama abah yang mendidik saya selama ini.
Saya membesar dengan kesabaran abah yang mendidik kami adik-beradik dan mencari nafkah untuk keluarga. Masih teringat diingatan, semasa abah bergelar seorang askar, abah selalu masuk hutan, dan pergi kursus, jadi tinggallah kami adik-beradik dengan mak di rumah. Walupun abah terpaksa berkorban untuk tanah air, tapi bila ada masa-masa cuti, pasti abah akan manfaatkan sebaik mungkin masanya dengan keluarga.
Lepas pencen askar, masa tu abah baru berumur 40an, abah terus bekerja lagi sebagai pemandu lori kelapa sawit kerana kami adik beradik ramai yang masih belajar dan adik-adik kecil lagi. Setiap kali balik kerja, abah pasti menyuruh adik-adik memijak belakang badannya, kadang-kadang sampai dia tertidur..melihatkan abah yang selalu letih dan semakin kurus, dalam diam menitis air mata ini melihat keadaannya. Saya selalu bercakap-cakap dengan adik-adik supaya jaga akhlak dan perangai elok-elok serta belajar sungguh-sungguh supaya dapat bantu abah satu hari nanti.
Sekali sekala teringat masa kecil, saya sangat manja dengan abah, apa tidaknya, kalau kepanasan je masa tidur, mesti abah kipaskan..hehe..tidur pun nak tidur dengan abah. Bila saya sudah masuk tadika, abah mula bertegas dengan saya, tidur pun dengan nenek pula. Pernah satu hari, masa tu saya baru je mendaftar mengaji Muqaddam dengan seorang ustaz, saya cakap dengan mak, "Mak, tak nak pergi ngaji la...takut, nanti ustaz rotan, ustaz garang.." Mak memujuk supaya saya pergi mengaji tapi tak berhasil. Akhirnya abah masuk campur, kebetulan petang tu abah ada di rumah, "Pergi siap cepat, aku hantar." Saya pun dengan berat hati pergi bersiap. Abah pun menarik tangan saya, kami berjalan menyusuri rimbunan pohon manggis dan sampailah di pagar rumah saya, tiba-tiba saya terdengar suara garau ustaz menjerkah membetulkan bacaan anak muridnya. Apalagi, tak keruan hati saya dibuatnya. Masjid tempat saya mengaji memang beberapa langkah je dengan pagar rumah kami. Kalau ustaz menjerit, memang jelas kedengaran suaranya. Saya terus menarik tangan saya dari genggaman abah..kononnya nak berlari balik rumah semula tapi tak berjaya..huhu.
Akhirnya saya menarik tangan abah ke arah rumah dan meraung-raung menangis tak nak pergi mengaji. Melihatkan saya yang berkeras, abah pun ikutkan aje. Bila dah sampai je di bawah pohon manggis semula, "dush"..hayunan batang manggis singgah di kaki saya."uwaaaa..." Bertambah kuat tangisan saya..hehe. Hukuman buat saya..hehe. Setelah pelbagai ikhtiar abah, akhirnya saya setia mengaji dengan ustaz sehinggalah saya khatam Quran...Alhamdulillah..walaupun ilmu abah tidak tinggi, tapi dia sangat mementingkan pelajaran Al-Quran kepada kami adik-beradik.
Ibnu Sina menulis dalam bukunya berjudul As-Siyaah, bab Siyasatur Rajuli Waladahu: "Apabila sang anak telah siap untuk menerima pelajaran dan telah mulai dapat memahami pembicaraan, maka dimulailah penuangan pelajaran Al-Quran dengan memperagakan kepadanya cara mengucapkan huruf hijaiyah yang benar, kemudian diajarkan pula kepadanya pokok-pokok ajaran agama."
Apabila saya menjangkau alam remaja, lebih ketat pantauan abah. Ketika saya masuk asrama di ting. 1-3, abah pasti akan menghantar dan menjemput saya pulang setiap kali tiba minggu balik kampung. Abah tak benarkan saya pulang dengan kawan-kawan. Mula-mula saya rasa sangat terkongkong, dan kadang-kala rasa nak memberontak. Tapi mak minta saya bersabar dan akhirnya saya faham maksud tindakan abah itu yang sangat bimbang kalau saya terjebak dengan gejala sosial.
Syukur alhamdulillah...ketegasan abah sangat membantu pembentukan peribadi saya.
Terima kasih Abah...
Rasulullah saw telah bersabda:
"Barangsiapa mempunyai tiga orang anak perempuan, lalu bersikap sabar terhadap keluh-kesah dan suka-duka jerih payah mengasuh mereka, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga berkat kasih-sayangnya kepada mereka."
Seorang lelaki bertanya:"Wahai Rasulullah, bagaimana dengan dua orang anak perempuan." Rasulullah saw menjawab:"Juga dua orang anak perempuan." Seorang lelaki lagi bertanya:"Bagaimana dengan seorang anak perempuan?" Rasulullah saw menjawab:"Juga seorang anak perempuan." (Ahmad, Baqi Musnadul Muktsirin 8071)
Dalam riwayat lain disebutkan sebagai berikut:
"Barangsiapa mempunyai tiga orang anak perempuan atau tiga saudara perempuan, dua orang anak perempuan atau dua orang saudara perempuan, lalu dia memperlakukan mereka dengan baik dan bertaqwa kepada Allah dalam mengasuh mereka, maka baginya syurga." (Tirmidzi, Kitabul Birri wash Shilah 1839, Abu Dawud, Kitabul Adab 4481 dengan teks:
"Barangsiapa menanggung tiga anak perempuan, lalu mendidik mereka, menikahkan mereka, dan memperlakukan mereka dengan baik, maka baginya syurga."
Ibnu Majah, Kitabul Adab 3659, dengan teks:
"Barangsiapa mempunyai tiga orang anak perempuan, lalu bersabar terhadap mereka, memberi mereka makan, minum, dan sandang dari hartanya, maka kelak pada hari Kiamat nanti mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka."
Labels: Kenangan Indah

