Si kecil bersuara..."Ya Allah...."

Comelnya anak-anak kecil ini. Hati ini sentiasa rindu pada anak buah yang berbaju biru itu, mungkin mereka sahaja anak buah yang baru saya ada. Anak kecil yang berbaju merah jambu itu sepupu mereka rasanya (anak buah abang ipar). Pernah satu ketika di sebuah restoran, adik saya ada bersama keluarga kakak saya ini, yelah bila berjalan-jalan mesti rasa lapar dan restoranlah tempat yang dituju. Adik saya bercerita pada saya, katanya, ketika salah seorang anak buah yang berumur tiga tahun pada masa itu sedang minum air, tiba-tiba dia tertumpahkan air yang dipegangnya, semua mata tertumpu padanya tapi tiba-tiba si anak kecil itu menyebut, "Ya Allah....", si ayahnya yang memandang nak bersuara tapi terpendam terus kata-katanya dek kerana anak kecil itu telah bersuara dahulu. Kata adik saya, "..mula-mula kitorang nak marah gak tengok budak ni tumpahkan air, dahlah kat restoran plak tu, tapi bila dengar suaranya yang comel tu sebut "Ya Allah...", tak jadi kitorang nak marah, tapi kitorang rasa kagum dan tersenyum melihat gelagatnya. Pelayan yang tolong lap meja kitorang pun tersenyum je.."
Mendengarkan cerita adik saya itu, saya rasa bersyukur kerana anak kecil ini sudah terdidik dengan lafaz zikir seperti itu, bila melatah lafaz itu yang terkeluar daripada mulutnya. Rasa termuhasabah diri ini kerana biasanya kita melatah jarang lafaz zikir yang keluar dari mulut kita dahulu tetapi perkataan-perkataan yang tidak membawa pahala pada kita, malah kadang-kala takut mengundang dosa pula.
Saya terfikir-fikir, acuan manakah anak yang bakal saya lahirkan nanti akan saya terapkan. Pernah saya melihat anak kecil yang pandai berceramah agama walaupun rasanya belum tentu semua orang dewasa boleh melakukannya. Ada juga saya menonton video anak perempuan kecil yang hafiz Al-Quran, bukan hanya dia menghafaz quran semberono malah tahu isi kandungannya dan bila ditanya tentang sesuatu hal, dia boleh menyatakan ayat Al-Quran yang mana berkaitan dengan hal itu....Subhanallah...
Pernah juga saya melihat video seorang anak kecil yang lantang menyanyi lagu berbaur cinta manusia walaupun pelat sebutannya tetapi lancar nyanyiannya. Ada juga anak kecil yang baru berusia 6 tahun sudah pandai menari 'break dance' dengan berlatih sendiri. Walaupun kagum melihat potensi anak-anak itu, namun, di hati kecil saya tertanya-tanya, kemanakah ibubapa anak-anak ini hendak membawa mereka?
Diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas r.a yang telah menceritakan bahawa Nabi saw pernah bersabda:
"Ajarkanlah kepada anak-anak kalian pada permulaan bicaranya ucapan Laa Ilaaha Illallah, dan ajarkanlah pula agar di akhir hayatnya mengucapkan Laa Ilaaha Illallah." (Baihaqi dalam Syu'abul Iman juz 4 Hadits no.8649. Menurut penelitinya, matan hadits ini gharib. Dia tidak menulisnya, kecuali hanya dengan isnad ini.)
Jika kita bandingkan dengan anak-anak para pendahulu kita yang soleh, orang tua mereka membawa mereka menyertai peperangan dan mengajari anak-anak mereka menunggang kuda serta menyerahkan tugas pendidikan mereka kepada orang-orang yang dipercaya i dapat menunaikannya hingga peperangan selesai. Allah swt telah berfirman,
"Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam." (Surah Al-An'am,6:125)
Dalam ayat lain disebutkan:
"Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan, melainkan ada didekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir." Surah Qaaf,50:18)
Labels: Pendidikan Anak

